10 February 2022

back to: Media Release

Altus Oil & Gas Malaysia sasar peluang pekerjaan pada 50 penduduk tempatan

PASIR PUTEH, Feb 10 - Altus Oil & Gas Malaysia Sdn Bhd menyasarkan sebanyak 50 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di Kelantan selaras dengan pembukaan cawangan terbarunya di Tok Bali.

Cawangan itu yang meliputi tiga teras perniagaan iaitu perkhidmatan marin, logistik dan lapangan minyak menawarkan pekerjaan pengkeranian, pembaikan di kawasan pesisiran sumber minyak dan pengakalan bekalan.

Pengarah Urusan Altus Oil & Gas Malaysia Sdn Bhd Mohammad Taufik Othman berkata, ini selaras dengan usaha kerajaan yang ingin menambah peluang pekerjaan terutama di kawasan setempat sekali gus dapat memacu pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

“Kami berharap dapat menyumbang ke arah pembukaan peluang pekerjaan dan meningkatkan sosial ekonomi setempat bersama syarikat-syarikat lain yang bertapak di Tok Bali Supply Base,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran Cawangan Kesembilan Altus Oil & Gas Malaysia Sdn Bhd di Tok Bali Supply Base, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Taufik berkata pemilihan lokasi di Tok Bali Supply Base ini mampu memainkan peranan penting dalam industri pelabuhan dan minyak d negara ini kerana kedudukan perairannya yang berdekatan dengan sumber kawasan pengeluaran minyak Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) dan North Malay Basin (NMB).

Altus Malaysia yang diasaskan pada 2010 turut menyediakan perkhidmatan penghantaran untuk industri kurier, ekspres serta e-dagang dan sehingga kini memiliki Sembilan cawangan di seluruh negara iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Johor Bahru (Johor), Port Klang (Selangor), Kemaman (Terengganu), Kuantan (Pahang), Miri dan Bintulu (Sarawak) dan Tok Bali (Kelantan).